Gangguan Seksual berkaitan pekerjaan: ketahui hak anda

Sumber-sumber untuk membantu pekerja yang mengalami atau menyaksikan gangguan seksual berkaitan pekerjaan

Shape

Gangguan seksual adalah masalah kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Majikan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan pekerja mereka.

Gangguan seksual berkaitan pekerjaan melibatkan apa sahaja tingkah laku bersifat seksual yang tidak diingini dan berlaku di tempat kerja, semasa anda bekerja atau di acara berkaitan pekerjaan.  Gangguan seksual boleh meliputi:

  • menyentuh
  • merenung atau melirik dengan niat lucah
  • komen atau jenaka berbau lucah
  • gambar atau poster yang lucah
  • ajakan berulang kali untuk keluar berduaan
  • permintaan hubungan seks
  • soalan-soalan ceroboh tentang kehidupan peribadi atau tubuh badan
  • sentuhan tidak perlu, misalnya sengaja menggeselkan badan
  • hinaan atau ejekan berbau seks atau jantina
  • sentuhan fizikal yang lucah
  • e-mel, mesej teks, atau aktiviti media sosial yang lucah

Ketahui hak dan tanggungjawab anda

Sebagai pekerja, anda berhak untuk berasa selamat di tempat kerja. Majikan anda bertanggungjawab untuk menyediakan dan memelihara tempat kerja yang selamat, bebas daripada gangguan seksual. Anda juga dilindungi daripada gangguan seksual di tempat kerja di sisi undang-undang tentang peluang sama rata dan anti diskriminasi.

Sebagai pekerja, anda juga bertanggungjawab untuk secara munasabah menjaga kesihatan dan keselamatan diri sendiri di tempat kerja, serta kesihatan dan keselamatan orang lain yang mungkin terjejas oleh apa yang anda lakukan atau tidak lakukan.

Khidmat Jurubahasa

Anda boleh menelefon 131 450 untuk dihubungkan dengan jurubahasa yang akan membantu anda mendapatkan khidmat sokongan di bawah.
 

Sokongan segera

Sekiranya mengalami gangguan seksual, ada sejumlah perkhidmatan yang tersedia untuk membantu anda.

Sekiranya berasa tidak selamat sekarang atau memerlukan sokongan segera (24 jam sehari, 7 hari seminggu): 

  1. Hubungi Victoria Police 000
  2. Hubungi Lifeline 13 11 14 
  3. Hubungi 1800RESPECT (talian penting serangan seksual negara)  1800 737 732

Laporkan

Jika anda mengalami gangguan seksual berkaitan pekerjaan, ada pelbagai pilihan dan perkhidmatan sokongan yang tersedia. Jika berasa selamat dilakukan, laporkan gangguan seksual secara langsung melalui sistem laporan kejadian anda atau terus kepada pengurus anda atau sumber manusia. Jika tidak mungkin atau tidak praktikal dalam situasi anda, pilihan lain untuk melaporkan masalah termasuk:

WorkSafe Victoria

WorkSafe Victoria dapat membantu anda bagi semua perkara berkaitan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, termasuk gangguan seksual. Khidmat nasihat kami tersedia 7:30 pagi – 6:30 petang Isnin hingga Jumaat di 1800 136 089.

Victorian Equal Opportunity and Human Rights Commission (Suruhanjaya Peluang Setara dan Hak Asasi Manusia Victoria - VEOHRC)

VEOHRC menyediakan proses mengemukakan maklumat dan aduan percuma dan sulit bagi mereka yang mengalami gangguan seksual di tempat kerja serta bidang kehidupan awam yang lain seperti pendidikan dan mendapatkan barang dan perkhidmatan.  Mereka juga khusus menangani masalah diskriminasi, penganiayaan, hak asasi manusia dan fitnah kaum atau agama. Untuk bercakap dengan pegawai penerangan, hubungi 1300 292 153.

Victoria Legal Aid (Bantuan Guaman Victoria)

Victoria Legal Aid menyediakan nasihat, penerangan, serta perwakilan undang-undang untuk mereka yang mungkin mengalami gangguan seksual, diskriminasi atau penganiayaan. Untuk nasihat atau bantuan Victoria Legal Aid, hubungi 1300 792 387.

Victoria Police (Polis Victoria)

Anda juga boleh menghubungi Victoria Police melalui balai polis tempatan anda untuk melaporkan gangguan seksual yang mungkin bersifat jenayah.

We are union (Kami kesatuan)

‘We are union' menyenaraikan kesatuan sekerja yang juga dapat memberikan nasihat berkaitan tanggungjawab tempat kerja anda untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat.

Membuat laporan bagi pihak orang lain

Pihak ketiga (misalnya, saksi gangguan seksual atau orang yang diberitahu tentangnya oleh mangsa) juga boleh membuat laporan melalui mekanisme di atas, tetapi mesti berunding dan bersepakat dengan mangsa sebelum mengambil langkah seterusnya.

Penting sekali mangsa berkenaan menyetujui apa yang dilakukan pihak ketiga bagi pihaknya, dan dapat mengawalnya. Ini termasuk menyetujui apa-apa langkah bagi melaporkan gangguan seksual itu dan dapat mengawasi prosesnya, serta dimaklumkan jika ada jawapan terhadap aduan gangguan seksual itu.

Dalam banyak kes, jika pihak ketiga membuat aduan gangguan seksual, pihak yang menjawabnya perlu menghubungi mangsa secara langsung bagi menentukan tindakan seterusnya. Pihak ketiga boleh menghubungi pihak-pihak di bawah ini untuk membincangkan proses pengaduan dan tindak balas terhadap gangguan seksual, tanpa memberikan perincian mengenai kejadian tertentu.

Program khusus

Terdapat juga program khusus untuk wanita, lelaki, dan golongan LGBTQIA +, pemuda, pendatang asing dan orang pelarian yang mengalami gangguan seksual.

The Migrant Workers Centre (Pusat Pekerja Asing)

The Migrant Workers Centre memberdayakan pekerja asing di Victoria agar memahami hak mereka, menguatkuasakannya di tempat kerja, dan menjalin hubungan dengan pekerja asing yang lain. Hubungi mereka pada hari bekerja di 03 9659 3516.

Multicultural Centre for Women's Health (Pusat Berbilang Budaya Kesihatan Wanita)

Multicultural Centre for Women’s Health menyokong wanita dari latar belakang pendatang asing dan pelarian serta memberikan maklumat untuk menyokong dan menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan. Hubungi 1800 656 421. Mereka juga menyediakan jurubahasa untuk anda.

Centre Against Sexual Harassment (Pusat Menentang Gangguan Seksual)

Centre Against Sexual Harassment dapat membantu menghubungkan anda dengan perkhidmatan yang memenuhi keperluan anda dan sesuai dengannya, serta memberdayakan anda untuk membuat pilihan yang arif. Hubungi 03 5441 0430.

MensLine Australia

MensLine Australia adalah perkhidmatan kaunseling dalam talian untuk lelaki yang mengalami masalah keluarga dan perhubungan (24 jam sehari, 7 hari seminggu). Hubungi 1300 789 978.

Queerspace

Queerspace memberikan kaunseling masyarakat untuk golongan LGBTQIA +. Hubungi 03 9663 6733.

Tanggungjawab Pekerja

Seksyen 25 Occupational Health & Safety Act (Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan) menggariskan kewajipan pekerja semasa bekerja. Sebagai pekerja, anda mesti:

  1. Secara munasabah, menjaga kesihatan dan keselamatan orang lain yang mungkin terjejas oleh apa yang anda lakukan atau tidak lakukan.  Contohnya, layani pekerja lain sewajarnya dengan tidak memperlihatkan tingkah laku tidak wajar seperti membuli atau gangguan seksual.
  2. Bekerjasama dengan majikan anda tentang apa-apa tindakan yang mereka ambil untuk mematuhi Undang-Undang atau Peraturan OHS. Contohnya, gunakan peralatan dengan betul, ikuti dasar dan prosedur kerja yang selamat dan jalani latihan.
  3. Jangan dengan sengaja atau nekad mengganggu atau menyalahgunakan apa-apa di tempat kerja demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan.
  4. Bertindaklah dengan munasabah demi kesihatan dan keselamatan anda di tempat kerja.