COVID-19: Maklumat untuk pekerja

Soalan lazim tentang COVID-19 dan kesihatan dan keselamatan pekerjaan di tempat kerja anda.

Shape

Maklumat ini adalah betul pada masa terbitan

Tambahan lagi, sila lawati coronavirus.vic.gov.au untuk maklumat terbaru tentang COVID-19.

Berbincang dengan majikan anda mengenai maklumat dan keperluan yang khusus kepada industri anda.

coronavirus.vic.gov.au

Apakah yang majikan anda perlu lakukan untuk melindungi anda daripada risiko COVID-19

Di bawah undang-undang kesihatan dan keselamatan pekerjaan Victoria, majikan anda hendaklah menyediakan dan menyelenggara, sejauh mana yang boleh dipraktikkan secara munasabah, persekitaran pekerjaan yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan pekerja mereka. Ini termasuk tindakan untuk mencegah risiko pendedahan kepada COVID-19 di tempat kerja.

Majikan anda mesti mengenal pasti sama ada terdapat risiko kepada kesihatan pekerja, atau orang lain, yang berkaitan dengan COVID-19 di tempat kerja mereka. Mereka mesti, sejauh mana yang boleh dipraktikkan secara munasabah:

  • menggunakan langkah-langkah kawalan yang wajar untuk menghapuskan atau mengurangkan risiko tersebut
  • berunding dengan pekerja dan wakil kesihatan dan keselamatan (HSR) jika ada semasa melakukan perkara seperti mengenal pasti risiko dan menentukan cara untuk mengawalnya
  • memberikan maklumat, arahan, latihan atau penyeliaan yang perlu kepada pekerja bagi membolehkan mereka untuk menjalankan kerja mereka dengan selamat
  • memberikan maklumat tentang kesihatan dan keselamatan di tempat kerja kepada pekerja, dalam bahasa yang sesuai

Majikan anda juga mesti mematuhi arahan kerajaan mengenai COVID-19, misalnya, Arahan Pandemik daripada Menteri Kesihatan Victoria.

Majikan anda juga mesti mengikuti arahan kerajaan tentang COVID-19, contohnya, dari Ketua Pegawai Kesihatan Victoria.

Apa yang harus dilakukan oleh majikan anda untuk menguruskan risiko pendedahan kepada COVID-19 akan bergantung pada:

  • jenis kerja yang anda lakukan
  • tahap risiko yang berkaitan dengan tugas
  • apa yang wajar dilaksanakan untuk tugas dan risiko yang berkaitan, termasuk ketersediaan bekalan
  • Arahan Pandemik daripada Menteri Kesihatan Victoria atau nasihat kerajaan semasa, misalnya panduan daripada Jabatan Kesihatan

Langkah-langkah kawalan

Beberapa contoh langkah-langkah kawalan yang mungkin sesuai untuk menguruskan risiko pendedahan kepada COVID-19 termasuk:

  • penjarakan fizikal di mana mungkin
  • menukar amalan kerja untuk mengurangkan sentuhan dengan orang lain
  • membenarkan pekerja untuk bekerja dari lokasi lain, seperti di rumah
  • mewujudkan gelembung tenaga kerja (contohnya, dengan memastikan kumpulan-kumpulan pekerja pada giliran yang sama di tapak kerja tunggal) untuk mengurangkan daripada merebaknya COVID-19 jika terdapat wabak atau penjangkitan masyarakat
  • memastikan tempat kerja mempunyai pengalihan udara segar yang mencukupi
  • meningkatkan pembersihan dan penyahjangkitan di tempat kerja, terutamanya di kawasan yang banyak digunakan
  • mengelakkan penggunaan telefon, meja, alat dan peralatan berkongsi
  • menggalakkan semua orang di tempat kerja untuk mengamalkan amalan kebersihan yang baik dan menyediakan benda-benda seperti kemudahan mencuci tangan dan pensanitasi tangan
  • memastikan pekerja tidak datang kerja apabila tidak sihat dan menetapkan rancangan jika pekerja mendapat gejala-gejala ketika berada di tempat kerja
  • membenarkan masa rehat tambahan untuk mengikuti prosedur kebersihan
  • menyimpan rekod pekerja dan pelawat yang datang ke tempat kerja
  • di mana dikehendaki, menyediakan kelengkapan perlindungan diri (PPE), maklumat dan latihan tentang sebab PPE diperlukan dan cara menggunakannya dengan selamat

Jika anda berasa bimbang tentang cara risiko COVID-19 diuruskan di tempat kerja anda

Anda mempunyai hak untuk berasa selamat di tempat kerja. Jika anda berasa bimbang tentang cara tempat kerja anda sedang menguruskan risiko COVID-19, anda boleh bercakap dengan majikan atau HSR (jika ada) anda tentang kawalan yang sedia ada di tempat kerja anda.

Jika anda masih risau tentang kesihatan dan keselamatan anda, anda boleh:

  • ikuti proses penyelesaian masalah tempat kerja anda
  • hubungi pasukan penasihat WorkSafe di 1800 136 089
  • mendapatkan nasihat yang khusus kepada keadaan anda, termasuk daripada organisasi pekerja, penyedia perundangan atau nasihat rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan atau agensi kerajaan lain

Tanggungjawab kesihatan dan keselamatan anda

Sebagai pekerja, anda mempunyai kewajipan untuk:

  • menjaga kesihatan dan keselamatan diri sendiri yang sewajarnya di tempat kerja
  • menjaga kesihatan dan keselamatan orang lain yang sewajarnya di tempat kerja
  • bekerjasama dengan majikan anda tentang sebarang tindakan yang diambil oleh mereka untuk mematuhi syarat yang dikenakan di bawah Akta OHS

Ini bermakna anda mesti bekerjasama dengan sebarang dasar yang munasabah atau arahan daripada majikan anda untuk mengurangkan risiko COVID-19, walaupun anda bekerja dari rumah.

Untuk melindungi orang lain, anda harus mengikuti langkah-langkah di bawah jika anda berasa tidak sihat, atau berfikir anda mungkin adalah kontak rapat.

Apa yang perlu dilakukan jika anda berasa tidak sihat

Gejala COVID-19 yang perlu berjaga-jaga adalah:

  • demam
  • seram sejuk atau berpeluh
  • batuk
  • sakit kerongkong
  • sesak nafas
  • hidung berair
  • kehilangan atau perubahan deria bau atau rasa

Sesetengah orang juga boleh mengalami sakit kepala, kesakitan otot, hidung tersumbat, loya, muntah dan cirit-birit.

Jika anda mempunyai sebarang gejala COVID-19, biar berapa ringan sekali pun, anda harus asingkan diri dengan segera, jalani ujian dan jika anda perlu, dapatkan nasihat daripada doktor anda atau Victorian Coronavirus Hotline pada 1800 675 398.

Dapatkan maklumat lanjut tentang cara untuk menjalani ujian

Anda juga harus:

  • beritahu majikan anda secepat mungkin
  • ikuti prosedur tempat kerja anda
  • mengemaskinikan majikan anda jika keadaan berubah, contohnya jika anda menerima diagnosis COVID-19 positif

Apa yang anda harus buat jika anda berkontak dengan seseorang yang menghidapi COVID-19

Jika anda berkontak dengan seseorang yang menghidapi COVID-19, anda harus mematuhi prosedur-prosedur Jabatan Kesihatan.

Jika anda perlu asingkan diri, anda harus beritahu majikan anda dengan secepat mungkin, dan maklumkan kepada mereka jika terdapat perubahan dalam keadaan anda, misalnya, jika anda menerima diagnosis COVID-19 positif.

Maklumat dalam bahasa anda

Untuk maklumat tentang WorkSafe dalam bahasa anda sendiri, hubungi Perkhidmatan Penterjemahan dan Jurubahasa (TIS National) kami di talian 131 450.